Friday, November 6, 2009

Perniagaan Sebenar


Kepada saudaraku,
Harap abang dalam keadaan sihat sejahtera. Tulisan ini akan menjelaskan keputusan saya tentang apa yang telah kita bincangkan tempoh hari.
Terlebih dahulu saya mengucapkan berbanyak terima kasih kerana sudi belanja saya minum, berbual dengan abang dan berkenalan dengan rakan-rakan abang. Ia pengalaman yang hebat dan penuh ilmu. Sedikit sebanyak membuka mata saya tentang peranan sesama muslim dalam membantu untuk mencapai kejayaan bersama. Bagus usaha abang tu.
Jika hendak ikutkan nafsu, terus terang saya tanpa banyak berfikir saya mesti akan ikut abang. Ciri-ciri pada abang cukup meyakinkan saya supaya tidak melengahkan keputusan dan terus menyertai perniagaan tersebut.
Tetapi saya ada pertimbangan tersendiri. Sedikit ilmu pengetahuan yang ada pada saya bukanlah saya hendak mengatakan saya lebih betul dari abang. Cuma masing-masing akan terus hidup atas pilihannya dengan izin Allah.
Seperti yang abang sebut, kalau saya tak berminat pun tidak mengapa kerana abang boleh cari orang lain lagi. Maka itulah keputusannya. Bukan saya tolak rezeki atau takut ambil risiko. Rezeki itu pun datang dari Allah. Tapi saya perlukan rezeki yang bagaimana? Saya nak rezeki atau nikmat yang mampu menjadikan saya hari in lebih baik hari semalam dan esok hari lebih baik dari hari ini. Rezeki atau pun peluang yang tidak ada unsur syubhah atau pun haram. Saya tidak mengatakan perniagaan abang itu tidak betul. Cuma bagi saya, saya perlu berwaspada terlebih dahulu. Sepertinya HPA yang telah terbukti ia perniagaan halal dari segi syariahnya kerana memiliki panel-panel syariah yang mampu memberikan keyakinan pada saya untuk menyertainya.
Kita berdoa supaya apa yang telah diberi oleh Allah dalam kehidupan kita supaya pemberian itu membawa kita lebih dekat kepadaNya. Inilah yang saya dapat dari siri-siri pengalaman sebagai pelajar dan pemimpin di kampus UiTMPP ini. Ia satu matlamat yang jauh. Memerlukan pengorbanan, kekuatan menempuh dugaan dan cabaran dan peningkatan amalan supaya mendapat keberkatan dalam ilmu penghidupan untuk menghadapi hari kematian.

Jika ditanya, yang mana saya mahu, senang atau tenang?..Saya mahu keduanya (tenang dan senang). Tetapi jika ditanya yang mana patut didahulukan?..Saya kata tenang. Allah Maha Adil. Allah Maha Pemurah. Kita susuri kisah Saidina Abu Bakar As-Sidiq. Beliau seorang ahli perniagaan yang kaya raya. Setelah memasuki Islam, beliau mendahulukan ketenangan berbanding kesenangan. Ketika seruan supaya menginfak harta benda untuk tujuan jihad di zaman Rasulullah, maka Rasulullah pun bertanya kepada Abu Bakar “Apa yang telah kamu tinggalkan (harta setelah infak) untuk keluarga kamu?’’. Maka jawab Abu Bakar “Hanya Allah dan Rasul”.
Kisah Abu Bakar di atas membuktikan bahawa Allah Maha Pemurah. Meskipun Abu Bakar menginfak semua hartanya, dia sekeluarga tetap dapat hidup malah mencapai tahap solehin. Inilah kehebatan iman sahabat baginda yang mana mengutamakan tenang dari senang.


Firman Allah swt:
 10. Hai orang-orang yang beriman, sukakah kamu aku tunjukkan suatu perniagaan yang dapat menyelamatkanmu dari azab yang pedih? 
11. (yaitu) kamu beriman kepada Allah dan RasulNya dan berjihad di jalan Allah dengan harta dan jiwamu. Itulah yang lebih baik bagimu, jika kamu mengetahui.  
(61. Ash Shaff: Ayat 10 dan 11)


“Beramal dengan berfikir, berfikir dengan zikir”

0 comments:

Post a Comment