Saturday, August 29, 2009

DIALOG NABI MUHAMMAD S.A.W DENGAN LEADER SYAITAN

Ringkasan kisah ini telah disesuaikan kembali daripada penyusun
asalnya Syaikh Muhammad bin Haji Mohd Said, Guru Madrasah Al-Sibyan,
Singapura dan penerbit asalnya Hashim bin Haji Abdullah yang dicetak
oleh Al-Ahmadiah Press (Pte) Ltd., Singapura.

Allah SWT telah menitahkan Malaikat untuk berjumpa raja iblis dan
menyuruh raja iblis mengadap kehadhirat Baginda Junjungan Besar Nabi
Muhammad Rasulullah S.A.W. bagi membuka segala jenis rahsia kegemaran
dan kebencian raja iblis. Peristiwa ini juga membayangkan ketinggian
darjat Baginda Rasulullah S.A.W. serta menjadi perisai dan peringatan
kepada sekelian umat Baginda. Malaikat menyatakan Titah Allah SWT
kepada raja iblis :


Hai iblis!! Bahawa Allah SWT Yang Maha Mulia lagi Maha Besar telah
menitahkan engkau supaya mengadap kehadhirat Rasulullah S.A.W. dan
hendaklah engkau membuka segala rahsiamu dan apa-apa yang disoal oleh
Nabi Muhammad S.A.W. hendaklah engkau menjawab dengan benar dan
sekiranya engkau berdusta walau satu perkataan sekalipun nescaya
diputuskan segala anggotamu dan uratmu serta engkau akan disiksa
dengan azab yang amat keras

Mendengar sahaja perkataan Malaikat berkenaan, iblis terasa dahsyat
dan amat gerun sekali. Dengan segera iblis datang mengadap Baginda
Rasulullah S.A.W. dengan menyamar menjadi seorang tua yang buta
sebelah matanya serta berjanggut putih sebanyak 10 helai yang
panjangnya seperti ekor lembu. iblis memberikan salam dengan penuh
hormat dan takzim sebanyak 3 kali yang tiada dijawab oleh Baginda
Rasulullah S.A.W.. iblis pun bertanya :-

Yaa Rasulullah, mengapakah Tuan Hamba tidak menjawab akan salam hamba
kerana bukankah salam itu sangat mulia di sisi Allah SWT?

Maka sabda Baginda S.A.W.:-

Hai aduwullah musuh Tuhan! Kepada akukah engkau menunjukkan helahmu?
Patutkah engkau dengan urusanmu itu hendak menipu aku sebagaimana
engkau menipu Nabi Allah Adam A.S. sehingga terkeluar dari syurga dan
Habil mati teraniaya dibunuh oleh Qabil dengan sebab hasutan engkau
serta Nabi Allah Ayub A.S. engkau tipu asap racun semasa baginda sujud
di dalam solatnya hingga begitu lama baginda menanggung sengsara oleh
perbuatan engkau. Dan Nabi Allah Daud A.S. dengan perempuan pahlawan
Urya serta Nabi Allah Sulaiman A.S. meninggalkan kerajaannya kerana
engkau menyamar sebagai isterinya untuk melarikan cincin baginda;
demikian juga beberapa Anbiya A.S.W.S serta para ulama yang telah
menanggung kesengsaraan dan penganiayaan oleh perbuatan mu yang
khianat. Hai iblis! Sebenarnya salam itu sangat mulia pada Tuhan Azza
Wajalla. Hanya salam engkau sahaja aku tidak ingin menjawabnya kerana
telah diharamkan oleh Tuhan dan engkau ini terlaknat serta telah
ditentukan kepada engkau kedalam neraka yang amat keras bagi menyiksa
dirimu. Maka aku kenal sangat bahawa engkaulah iblis yang menjadi raja
segala syaitan telah datang dalam bentuk penyamaran. Apakah tujuan
engkau datang mengadapku ini?

Maka sembah iblis :

Ya Nabi Allah, janganlah Tuan Hamba murka. Demi sesungguhnya, Tuan
Hambalah Nabi yang terakhir lagi mulia dan kekasih Allah S.W.T. maka
dapatlah Tuan Hamba mengenali hamba. Ya Nabi Allah, tujuan kedatangan
hamba ke mari ialah dengan keizinan Tuhan Azza Wajalla. Allah SWT
telah mengutuskan malaikatNya dengan Titah supaya hamba datang
mengadap ke hadhirat Tuan Hamba. Ini supaya Tuan Hamba dapat
bertanyakan apa juga persoalan mengenai keadaan umat Tuan Hamba. Hamba
sedia menkhabarkan secara terus-terang mengenai tipu daya hamba di
atas sekelian manusia bermula daripada zaman Nabi Allah Adam A.S.
sehinggalah kepada zaman yang akan datang selepas zaman Tuan Hamba.
Mereka yang hamba goda kepada beberapa banyak simpang dan jalan yang
sesat supaya mereka binasa dengan tipu daya hamba yang amat halus.

Ya Nabi Allah, setiap pertanyaan Tuan Hamba akan hamba jawab satu
persatu dengan sebenar-benarnya tanpa sembunyi.

Maka raja iblis pun bersumpah dengan nama Tuhan dan berkata :

Ya Nabi Allah, sekiranya hamba berdusta barang sepatah kata sekalipun,
nescaya hancur-leburlah diri hamba terbakar menjadi abu

Mendengarkan pengakuan Raja iblis dan sumpahnya, maka Rasulullah
S.A.W. berasa sukacita dan merasakan inilah peluang keemasan untuk
baginda menyiasat segala perbuatan raja iblis dengan disaksikan oleh
sekelian sahabat yang hadir di majlis berkenaan. Ianya juga akan
menjadi senjata atau perisai kepada sekelian umat hingga kemudian
hari.

DIALOG

RASULULLAH S.A.W : Wahai iblis! Siapakah yang sebesar-besar seteru
engkau dan apakah pandanganmu terhadap aku ini?

raja iblis : Ya Nabi Allah, Tuan Hambalah musuh hamba yang paling
besar daripada segala seteru hamba di muka bumi ini.

Maka Rasulullah S.A.W. merenung wajah raja iblis menyebabkan iblis
menggeletar segenap tubuh badan serta anggotanya disebabkan terlalu
gerun akan kebesaran Baginda.

raja iblis : Ya Nabi Allah, hamba mampu menyamar sebagai sesiapa juga
termasuk haiwan bersekali dengan suara-suara yang tepat. Hamba ditegah
Tuhan Azza Wajalla untuk menyamar sebagai Tuan Hamba kerana jika hamba
melakukan yang demikian, nescaya terbakarlah hamba menjadi abu .

raja iblis : Hamba bersungguh-sungguh merentap iktikad anak Adam
supaya mereka menjadi kafir ialah kerana Tuan Hamba bersungguh-sungguh
menasihatkan mereka dengan memberikan pedoman kepada seluruh manusia
supaya berpegang teguh kepada Islam. Begitulah juga kesungguhan hamba
menarik mereka kepada kafir, murtad dan munafik. Hamba tarik sekelian
umat Islam supaya meninggalkan jalan yang lurus dan beralih kepada
jalan yang sesat. Hamba berharap mereka akan mauk ke neraka bersama-
sama dengan hamba serta kekal di dalamnya buat selama-lamanya

RASULULLAH S.A.W: Hai iblis! Bagaimanakah perbuatanmu kepada makhluk
Allah SWT?

raja iblis : Ya Nabi Allah, hamba goda perempuan-perempuan supaya
merenggangkan kedua pahanya kepada lelaki yang bukan suaminya dan
sesetengahnya hingga menghasilkan benih yang bersalah-salahan
sifatnya. Hamba goda segala manusia supaya meninggalkan solat dan leka
dengan makan-minum dan berbuat kemungkaran. Sesetengahnya hamba
lalaikan dengan harta-bendanya daripada emas, perak, rumah dan ladang
dan hasilnya dibelanjakan ke atas segala pekerjaan yang haram. Telah
banyak kaum lelaki dan perempuan terpesong imannya menerusi tentera
jin, iblis dan syaitan yang hamba perintahkan supaya menarik mereka ke
jalan kemungkaran. Kalau terdapat sesuatu pesta yang melibatkan
pergaulan bebas lelaki dan perempuan, maka hamba akan menggoda
bersungguh-sungguh supaya mereka kehilangan maruah, meminum arak dan
mempengaruhi rakannya dengan cara paksaan supaya meminum arak sehingga
hilang akal dan hilang rasa malu mereka. Lalu hamba hulurkan tali
percintaan yang asyik sehingga terbuka beberapa pintu maksiat yang
besar supaya mereka berhasad-dengki sehingga melakukan perzinaan.
Apabila lelaki dan perempuan berkasih-kasihan, maka terpaksalah mereka
mencari wang menerusi tipu daya serta mencuri. Sekiranya mereka
menyedari kesalahan masing-masing dan ingin bertaubat atau beramal-
ibadat, hamba akan halang mereka sehingga mereka bertangguh dan
bertempoh dalam berbuat kebajikan. Hamba juga akan menggoda dengan
lebih kuat supaya melazimkan maksiat dan menyukai isteri orang. Maka
telah ramai umat Tuan Hamba telah hamba sesatkan dengan jalan ini
dengan bantuan jin, syaitan dan iblis di mana hamba menyuruh mereka
menghasut seluruh anggota manusia hingga ke dalam tubuh badannya.
Apabila mereka digoda pada hati, maka mereka akan sentiasa riak dan
takabbur, ujub serta melengah-lengahkan amalnya dan berlaku sombong.
Apabila mereka digoda pada lidah, maka sentiasalah mereka gemar
berdusta, mencela dan mengumpat satu sama lain. Demikianlah hamba
menghasut mereka semasa siang, malam, pagi dan petang.

RASULULLAH S.A.W: Hai iblis! Mengapakah engkau suka bersusah-payah dan
berpenat-penatan untuk melakukan pekerjaan yang tidak memberikan
sebarang faedah kepada dirimu bahkan menambahkan lagi laknat ke atas
dirimu serta engkau akan ditimpakan sebesar-besar siksaan di dalam
neraka yang paling bawah sekali?

RASULULLAH S.A.W: Hai laknatuLlah! Siapakah yang menghidupkan engkau?
Siapakah yang menjadikan engkau? Siapakah yang melanjutkan usia
engkau? Siapakah yang menerangkan mata engkau? Siapakah yang
memberikan pendengaran telinga engkau? Siapakah yang memberikan
kekuatan kepada anggota engkau?

raja iblis : Adalah sekeliannya itu adalah anugerah daripada Allah SWT
yang Maha Besar. Tetapi hawa nafsu dan takabur serta khianat telah
menyebabkan hamba melakukan sebesar-besar kejahatan. Tuan Hamba juga
sedia maklum bahawa hamba pernah menjadi ketua segala malaikat
sehingga ribuan tahun dan bersujud kepada Allah SWT semenjak di dunia
ini lagi dan hamba telah dinaikkan darjat menerusi satu langit ke satu
langit dengan aman. Hamba pun mendiami tempat hamba dengan beribadat
bersama-sama malaikat serta berkhidmat kepada Tuhan Azza Wajalla dalam
tempoh yang begitu lama.

Tiba-tiba datang Firman Allah SWT kepada hamba sekeliannya mengenai
dijadikanNya seorang khalifah di dalam dunia ini. Maka hamba membantah
kerana tidak suka berkhalifah. Lantas Tuhan Azza Wajalla menjadikan
seorang lelaki dan dititahkan hamba dan sekelian Malaikat memberikan
penghormatan kepada Adam kecuali hamba seorang enggan bersujud dan
hamba telah mengingkari hukumNya. Maka hamba dimurkai Tuhan Azza
Wajalla serta dilaknatiNya hamba sehingga Hari Qiamat. Wajah hamba
yang selama ini bercahaya dan cantik telah dihapuskan oleh wajah yang
hodoh dan keji. Hamba sakit hati dan begitu berdendam kepada Adam.
Kemudian Adam diangkat oleh Tuhan Azza Wajalla menjadi raja di dalam
syurga serta dikurniakan seorang isteri untuk dijadikan permaisuri
yang memerintah segala bidadari. Sentiasalah mereka dalam kesukaan dan
kesenangan. Hasad-dengki hamba menjadi-jadi kepada kedua mereka dan
merancang untuk mengkhianati mereka. Akhirnya hamba telah menipu Siti
Hawa supaya meminta Adam memakan buah khuldi larangan Tuhan Azza
Wajalla. Maka kerana perempuan itulah, Adam termakan buah larangan
berkenaan sehingga mereka dihalau dari syurga dan diturunkan ke dunia
secara terpisah kedua suami-isteri beberapa lama sehinggalah
dipertemukan kembali oleh Tuhan Azza Wajalla dengan selamatnya
sehingga mereka mendapat beberapa orang anak lelaki dan perempuan.
Kemudian kami hasut pula anak lelakinya yang bernama Qabil supaya
membunuh abangnya Habil sehingga mati. Itupun hamba masih tidak
berpuas hati sehingga hamba dapat melakukan pelbagai tipu-daya ke atas
sekelian anak-cucunya hinggalah ke Hari Qiamat. Tetapi Tuan Hamba
telah menghalang pekerjaan hamba dengan menarik mereka supaya memeluk
Islam. Ada pun sebelum Tuan Hamba diputerakan ke dalam dunia ini,
hamba bersama-sama bala tentera hamba mampu naik ke langit dengan
mudahnya mencuri rahsia dan tulisan-tulisan yang menyuruh manusia
berbuat ibadat dan mendapat pahala serta syurga. Demikian juga bagi
mereka yang beribadat malam akan mendapat setinggi-tinggi pahala.
Apabila hamba turun ke dunia, maka hamba khabarkan kepada mereka itu
dengan jalan yang sesat melalui pelbagai tipu daya sehingga mereka
berpegang kepada kitab-kitab bidaah dan karut. Tetapi apabila Tuan
Hamba zahir ke alam dunia ini, maka hamba tidak dizinkan Allah SWT
untuk naik ke langit dan hamba tiadalah lagi mendapat apa-apa rahsia
umat Tuan Hamba. Ramai malaikat yang menjaga di pintu tiap-tiap
lapisan langit dan jika hamba berdegil untuk naik ke langit, nescaya
malaikat akan melontar anak panah api yang bernyala-nyala. Telah ramai
bala tentera hamba daripada golongan jin, iblis dan syaitan terkena
lontaran malaikat sehingga badan mereka terbakar menjadi abu. Hamba
dan bala tentera hamba amat susah hati dalam usaha menjalankan hasutan
ditambah pula Tuan Hamba dapat menzahirkan mukjizat-mukjizat yang amat
hebat di hadapan sekelian raja-raja dan di khalayak ramai.

RASULULLAH S.A.W: "Hai iblis! Apakah tipu helah terawal engkau ke atas
manusia?"

raja iblis : Pertama, hamba palingkan iman mereka sehingga terpesong
iktikad mereka kepada kekafiran samada pada perkataan, perbuatan,
kelakuan dan hati mereka. Namun jika mereka gagal hamba pesongkan,
hamba akan berusaha menarik mereka kepada jalan yang mengurangkan
pahala supaya lama-kelamaan, mereka akan terjerumus juga mengikut
kemahuan hamba

RASULULLAH S.A.W: "Hai iblis! Apabila umatku mendirikan solat,
bagaimanakah keadaan engkau?"

raja iblis : "Itulah sebesar-besar kesusahan kepada hamba. Gementarlah
seluruh badan hamba dan lemahlah tulang sendi hamba, maka pada waktu
itu, hamba menyuruh puluhan syaitan iblis menggoda setiap orang yang
hendak bersolat menerusi anggotanya supaya malas bersolat dan hatinya
supaya was-was dalam solatnya serta terlupa bilangan rakaatnya. Mereka
juga akan bimbangkan pekerjaan dunia dan hatinya hendak cepat-cepat
menamatkan solatnya. Sesetengah iblis masuk ke dalam mata orang yang
hendak bersolat supaya ia tidak kusyuk dalam solatnya sehingga mereka
berpaling atau menjeling ke kanan dan kiri semasa solat. (Maka)
tidaklah tetap hatinya serta hilanglah kusyuknya. Sesetengah iblis
memasuki telinga orang yang bersolat supaya memasang telinga mendengar
perbualan orang, bunyi-bunyian dan sebagainya - yang sia-sia belaka.
Sesetengah iblis duduk pada belakangnya supaya orang yang bersolat itu
tidak berupaya lama-lama semasa bersujud atau bertahiyyat. Di dalam
hatinya sering bekehendakkan agar solatnya segera tamat dan ini
tentunya akan mengurangkan pahala solat. Jika sekelian iblis berkenaan
gagal menggoda seperti yang demikian, nescaya mereka akan hamba hukum
seberat-beratnya.

RASULULLAH S.A.W: "Jika umatku membaca Al-Qur an kerana Allah, apakah
yang engkau rasa?"

raja iblis : "Jika mereka membaca Al-Qur an kerana Allah, maka
terbakarlah tubuh hamba serta putus-putus segala urat hamba, maka
larilah hamba dari mereka.

RASULULLAH S.A.W: "Hai iblis! Jika umatku mengerjakan haji kerana
Allah, apakah yang engkau rasa?"

raja iblis : "Telah binasalah diri hamba dan gugurlah tulang hamba
kerana mereka telah menyempurnakan rukunnya.

RASULULLAH S.A.W: "Hai iblis! Jika umatku berpuasa kerana Allah,
apakah yang engkau rasa?"

raja iblis : "Ya Nabi Allah, inilah suatu bencana yang besar bahayanya
terhadap hamba kerana apabila masuk malam awal Ramadan, maka
memancarlah nur Arasy dan Kursiy serta segala Malaikat menyambut
dengan gembiranya. Bagi orang-orang yang berpuasa mendapat sebesar-
besar anugerah Allah SWT yang Maha Pengampun segala dosa yang telah
lalu serta digantikan pula dengan pahala yang amat besar serta tiada
ditulis segala kesalahannya selama ia berpuasa. Tambahan pula yang
menghancurkan hati hamba ialah segala isi langit, bulan dan bintang
serta Malaikat sehinggalah burung-burung dan ikan-ikan laut dan air
tawar juga tiap-tiap yang bernyawa di atas muka bumi mendoakan siang
dan malam memohon ampun bagi orang-orang yang berpuasa. Satu lagi
setinggi-tinggi kemuliaan orang yang berpuasa ialah Tuhan menjadikan
1000 kemerdekaan dari azab neraka pada setiap hari dalam Bulan
Ramadan, segala pintu neraka ditutup, segala pintu syurga dibuka,
angin/bayu syirah yang amat lembut berhembusan ke dalam syurga. Maka
pada hari mulanya umat Tuan Hamba berpuasa, datanglah segala bala
tentera Malaikat yang garang tanpa mengira lawannya menangkap hamba
dengan perintah Tuhan serta ditangkapnya segala bala tentera hamba
iaitu jin, syaitan dan ifrit serta dipasung kaki tangannya dengan besi
panas - dan dirantainya hamba sekeliannya serta dibenamkan ke dalam
bumi yang amat dalam dan ditambah pula dengan beberapa azab sengsara
sehingga selesai ibadat puasa umat Tuan Hamba, baharulah hamba
dilepaskan supaya hamba tidak boleh mengganggu mereka. Dan umat Tuan
Hamba sendiri telah merasa kesenangan dalam menjalani ibadat puasa
sebagaimana mereka bekerja untuk bersahur di waktu tengah malam
seorang diri sekalipun tanpa sedikit perlu merasa takut seperti malam-
malam yang lain

RASULULLAH S.A.W: "Hai iblis! Bagaimanakah halnya para sahabatku
kepada engkau?

raja iblis : "Ya Nabi Allah, Adalah sekelian para sahabat Tuan Hamba
adalah sebesar-besar seteru kepada hamba, kerana tiada upaya hamba
melawan mereka dan tidak ada satu pun tipudaya hamba dapat memasuki
mereka, kerana Tuan Hamba pernah berkata Sekelian para Sahabatku
adalah umpama bintang di langit, jika kamu mengikuti mereka nescaya
kamu akan mendapat petunjuk Ya Nabi Allah, sekelian para sahabat Tuan
Hamba sangat taat mengerjakan perintah Tuan Hamba lagi setia serta
bersungguh-sungguh menyiar dan menghebahkan syariat Tuan Hamba kepada
sekelian manusia menerusi Al-Qur an dan Al-Hadis. Ada pun Sayyidina
Abu Bakar As Siddiq bin Abi Qahafah R.A. itu semasa sebelum beliau
bersama Tuan Hamba pun, hamba gagal menghampirinya apalagi sekarang
beliau telah mendampingi Tuan Hamba. Beliau amat kuat bersaksi di atas
kebenaran Tuan Hamba sehingga beliau telah menjadi wazirul a zam dan
Tuan Hamba telah berkata bahawa kiranya ditimbang kebajikan Abu Bakar
dengan amal kebajikan sekelian isi dunia ini, nescaya lebih beratlah
kebajikan Abu Bakar. Tambahan pula, beliau telah menjadi bapa mertua
Tuan Hamba dengan mengahwinkan puterinya Sayyidatina Aishah R.A yang
sangat hafiz Hadis-Hadis Tuan Hamba. Ada pun sahabat Tuan Hamba,
Sayyidina Umar Al-Khattab R.A., hamba tidak berani memandang wajahnya
kerana beliau sangat tegas dalam menjalankan hukum syariat Tuan Hamba.
Jika hamba terpandang wajahnya, maka gementarlah segala tulang sendi
hamba kerana tersangat takut kepadanya kerana imannya yang sangat kuat
apalagi Tuan Hamba pernah bersabda, Jikalaulah ada lagi Nabi selepas
aku, nescaya Umar boleh menggantikannya kerana harapan besar Tuan
Hamba ke atasnya. Beliau juga mampu membezakan iman dan kafir sehingga
beliau mendapat gelaran Umar Al-Faruk . Ada pun sahabat Tuan Hamba,
Sayyidina Osman Al-Affan itu lebih-lebih lagi tidak dapat hamba
hampiri kerana lidahnya sentiasa bergerak membaca Al-Qur an, siang,
malam, pagi dan petang. Dialah penghulu segala orang yang sabar dan
penghulu segala syuhada dan menjadi menantu Tuan Hamba sebanyak 2
kali. Kerana ketaatannya, beliau dikunjungi oleh para Malaikat dengan
penuh hormat kerana sangat malunya Malaikat kepada beliau. Tuan Hamba
telah berkata, Barangsiapa menulis BismillaahirRahmaanirRahiim pada
kitab-kitab atau kertas-kertas dengan dakwat merah, nescaya mendapat
pahala baginya seperti pahala syahid Sayyidina Osman. Ada pun sahabat
Tuan Hamba, Sayyidina Ali bin Abi Talib R.A., hamba sangat takut
kepadanya kerana kehebatan kelakuannya serta kedahsyatan melihat
keperkasaannya di medan peperangan merempuh segala musuhnya. Maka
apabila iblis, syaitan dan jin memandang wajah Sayyidina Ali, nescaya
terbakar kedua biji mata mereka kerana beliau sangat kuat mengerjakan
perintah Tuhan serta beliau adalah julung-julungnya kanak-kanak yang
memeluk Islam serta enggan menundukkan kepala kepada sebarang berhala,
sebab itulah beliau digelar Ali KarimahullahuWajhah dan Harimau
Allah . Tuan Hamba pernah bersabda, Akulah negeri segala ilmu dan Ali
adalah pintunya . Tambahan pula, beliau telah menjadi menantu tuan
hamba, maka terlebihlah ngeri hamba kepadanya.

RASULULLAH S.A.W: "Bagaimanakah tipudaya engkau terhadap umatku?

raja iblis : "Adalah umat Tuan Hamba ada tiga golongan (1) Seperti air
hujan turun dari langit yang menghidupkan segala tumbuhan lagi banyak
manfaatnya dan pertolongan kepada lainnya iaitu guru-guru yang memberi
nasihat kepada manusia supaya mengerjakan perintah Allah SWT dan
menjauhi segala tegahanNya dan kata (Malaikat) Jibril A.S., Adapun
ulama itu pelita dunia dan pelita akhirat (2) Umat Tuan Hamba itu
seperti tanah iaitu orang (yang) sabar, bersyukur dan redha akan
kurnia Tuhan kepadanya serta beramal soleh dan bertawakkal kepada
Allah dan banyak berbuat kebajikan, dan (3) Umat Tuan Hamba itu
keadannya seperti Fir aun yang terlampau tamak dengan harta dunia
(dan) dihilangkan amal (perbuatan) akhirat. Maka (dengan) sukacitalah
hamba kepada mereka (umat ke 3) lalu hamba masuk ke dalam tubuh
mereka, hamba putarkan hati mereka menuju ke lautan derhaka. Apabila
telah kekal atas jalan kejahatan, hamba tarik ke mana (sahaja) sesuka
hati hamba, jadi sentiasalah mereka bimbangkan dunia dan tidak suka
menuntut ilmu, dijadikan dirinya tiada kelapangan untuk beramal, tidak
mengeluarkan zakat hartanya dan sesetengah (golongan) yang miskin
(yang) hendak beribadat, hamba goda mereka (supaya) meminta kekayaan
terlebih dahulu, maka apabila disampaikan Tuhan akan hajatnya untuk
mendapatkan kesenangan, maka (hamba) lupakan mereka dari beramal,
tidak mahu mengeluarkan zakat harta mereka ibarat Qarun dengan
mahligainya dan diri mereka serta harta benda mreka habis terbenam ke
dalam bumi kerana mereka tidak mahu membelanjakan (harta mereka) pada
jalan-jalan kebajikan dan jika terkena kesakitan, mereka tidak sabar,
mereka sentiasa bimbangkan harta mereka dan sesetengah dari mereka
yang kaya asyik dengan perebutan dunia, bercakap besar kepada sesama
Islam dan benci dan menghina golongan miskin. Mereka gemar
mengeluarkan harta mereka kepada jalan-jalan maksiat dan menaburkan
harta mereka kepada perempuan-perempuan jahat dan tempat-tempat judi
dan (majlis) tarian.

RASULULLAH S.A.W: "Siapa pula yang sama (tarafnya) seperti engkau?

raja iblis : "Orang-orang yang meringankan syari at Tuan Hamba dan
membenci orang-orang yang mempelajari Islam.

RASULULLAH S.A.W: "Siapakah pula yang memberikan cahaya pada muka
engkau?

raja iblis : "Orang-orang yang berdosa dan bersumpah bohong dan
(menjadi) saksi pembohong serta memungkiri janji.

RASULULLAH S.A.W: "Apa pula rahsia engkau terhadap umatku?

raja iblis : "Jika seorang muslim ingin membuang air besar (ke
tandas), jika tidak membaca doa kepada Allah SWT untuk mohon
perlindungan daripada syaitan, nescaya hamba lumurkan najis itu ke
tubuhnya tanpa disedari.

(Inilah doanya sebelum sampai ke tandas - Bismillahi AllaHomma Innii a
uu dzubikaminal khubusi wal khobaa is jika masuk ke tandas,
dahulukanlah kaki kiri dan jika keluar dari tandas dahulukan pula kaki
kanan dan apabila jauh empat-lima langkah daripada tandas, dibaca di
dalam hati GhufraanakalhamdulillaaHilladzii azHaba annil azaa wa
aafinii dan apabila selesai bersuci dibacakan doa AllaaHumma ToHHir
Qalbii minnifaaqi wahaSSin farjii minal fawaa hi shi )

Maka jika dibacakan doa-doa tersebut, larilah hamba daripadanya

RASULULLAH S.A.W: "Hai iblis! Jika umatku berjimak dengan isterinya,
bagaimanakah keadaan engkau?

raja iblis : "Jika seseorang hendak berjimak dengan isterinya, (dan)
jika dia membaca : A uu dzubillaaHiminassyaitaanirrajiim, AllaHumma
jannibnaa minassyaitaani wajannibissyaitaan maa razaqtanaa maka
larilah hamba daripadanya. Maka jika dia tidak membacakan doa
tersebut, (maka) hambalah yang terlebih dahulu berjimak dengan
isterinya dan jika menjadi anak (hasil pergaulannya), maka anak itu
menggemari pekerjaan maksiat serta malas berbuat (baik) atas jalan
kebajikan dengan sebab kelalaian ibubapanya. Demikian juga jika mereka
makan atau minum dengan tidak membaca BismillaahirRahmaaniRahiim maka,
hambalah yang terlebih dahulu makan dan minum sebelum mereka, maka
walaupun mereka makan, tetapi mereka tidak kenyang.

RASULULLAH S.A.W: "Dengan jalan manakah yang dapat menolak
tipudayamu?

raja iblis : "Jika seseorang berbuat dosa, maka ia segera sedar dan
bertaubat kepada Allah SWT dan menangis serta menyesal di atas
perbuatannya serta apabila dia marah, dengan segera dia berwudhuk,
nescaya padamlah kemarahannya. Barangsiapa yang membaca doa ini setiap
kali solat Jumaat sebanyak 5 kali, maka dosanya akan diampunkan Tuhan
kerana dia telah bertaubat. Inilah doanya : Ilaahii lasta lil firdausi
ahlan, walaa aq waa a laa naaril jahiim, fahablii taubatan waghfir
dzunuubii, fainnaka ghaafirudzzanbil aziim

RASULULLAH S.A.W: "Hai iblis! Siapakah yang benar-benar menjadi
kegemaranmu?

raja iblis : "Apabila lelaki dan perempuan tidak mencukur atau
mencabut atau menggunting bulu di ari-arinya selama 40 hari, maka
hamba akan tinggal mengecilkan diri seperti pepijat bersarang di situ,
begitu juga, (menjadi) tempat hamba bergantung dan berbuai pada bulu
ketiak orang yang tidak mencukurnya atau mencabutnya

RASULULLAH S.A.W: "Hai iblis! Siapakah saudaramu?

raja iblis : "Orang yang tidur meniarap atau tidur (nyenyak) di waktu
subuh, maka dia masih tidur dan tidak segera solat subuh, maka hamba
akan mengulitnya sehingga dia lena sehingga terbit matahari dan begitu
juga pada waktu zohor, asar dan maghrib, hamba (akan) beratkan hatinya
(sehingga) menjadi malas mengerjakan solat.

(Apabila hendak tidur, bacalah BismillaahirRahmaanirRahiim sebanyak 21
X)

RASULULLAH S.A.W: "Hai iblis! Dengan jalan manakah yang boleh
membinasakanmu?

raja iblis : "Orang yang banyak menyebut nama Allah dan banyak
memberikan sedekah dengan tidak diketahui orang, memperbanyakkan
taubat, memperbanyakkan tadarrus Al-Qur an serta solat di waktu
malam.

RASULULLAH S.A.W: "Hai iblis! Apakah pula yang memecahkan penglihatan
engkau?

raja iblis : "Orang yang banyak beriktikaf di masjid kerana Allah

(lafaz niat iktikaf Nawaitul I tikaaf fii Haa dzal masjidi sunnatan
lilLaahiTa aala )

RASULULLAH S.A.W: "Hai iblis! Apakah lagi yang memecahkan penglihatan
engkau?

raja iblis : "Orang yang taat kepada (kedua) ibubapanya serta membantu
(menjaga) makan dan minum serta pakaian mereka kerana Tuan Hamba telah
bersabda Bermula syurga itu adalah di bawah (tapak) kaki ibubapa

RASULULLAH S.A.W: "Hai iblis! Apa pula yang merantai engkau?

raja iblis : "Penjual (peniaga) yang betul timbangan (dan) sukatannya,
ukuran dan tukarannya.

RASULULLAH S.A.W: "Hai iblis! Apabila umatku memberi salam antara satu
dengan yang lain, bagaimanakah keadaanmu?

raja iblis : "Apabila dua orang (muslim) bertemu di tengah jalan,
lantas memberikan salam (Assalaamu alaikum waroh matulLaaHiwabaa
rakaatuh) dan dijawab oleh saudaranya, maka terasa seperti pecah dada
hamba, maka hamba pun meratap kerana kedua-duanya telah diampunkan-
dia dan saudaranya - apabila berpisah keduanya

RASULULLAH S.A.W: "Hai iblis! Siapakah pula sahabat karibmu?

raja iblis : "Orang yang minum arak atau tuak (samsu) atau (ketagih)
candu atau ganja (termasuk penyalahgunaan dadah) kerana
kemerbahayaannya telah nyata menyebabkan perpecahan, perkelahian dan
perceraian

RASULULLAH S.A.W: "Hai iblis! Siapakah pula yang bersekutu dan
sekedudukan dengan engkau?

raja iblis : "Apabila bertemu lelaki dengan perempuan-perempuan muda,
maka hamba duduk pada leher perempuan-perempuan muda itu, hamba
hiaskan wajahnya (perempuan) dengan jelingan dan senyuman yang menarik
hati serta apabila terpandang belakang (perempuan), maka terpandanglah
lehernya (perempuan) yang halus dengan pinggang dan punggungnya
melenggang yang membangkitkan nafsunya (lelaki) serta manakala
terpandang hadapannya (perempuan), hamba hiaskan dadanya (perempuan)
supaya bergetaran serta hamba panah tepat pada jantung hati keduanya
(lelaki dan perempuan) atau salah satu daripadanya sehingga tergerak
syahwatnya. Orang yang tiada memelihara hatinya, nescaya tidak
terpelihara farajnya dan apabila tidak memelihara farajnya, maka tidak
terpeliharalah imannya.

RASULULLAH S.A.W: "Hai iblis! Di manakah kediamanmu?

raja iblis : "(hamba tinggal) Pada rumah berhala dan pada mana-mana
batu, kayu, tembaga dan sebagainya (bahan pujaan) Apabila mereka
menyembah (berhala, batu, kayu, tembaga dan sebagainya), maka hamba
cenderungkan hati mereka supaya bertambah-tambah keyakinannya terhadap
pekerjaan mereka (menyembah berhala) yang syirik itu. Betapa ramainya
umat Tuan Hamba telah hamba pesongkan sehingga memasuki rumah berhala
Majusi dan Hindu yang menunjukkan betapa nipisnya iman mereka.

RASULULLAH S.A.W: "Hai iblis! Di manakah tempat perhimpunanmu?

raja iblis : "Pada rumah wayang dan tempat majlis tarian dan
seumpamanya seperti tempat percampuran lelaki dan perempuan (secara
bebas)

RASULULLAH S.A.W: "Hai iblis! Aku lihat engkau mengintai-ngintai di
dalam masjid, apakah yang hendak engkau lakukan?

raja iblis : "Hamba hendak mengganggu orang yang sedang bersolat di
situ.

RASULULLAH S.A.W: "Kenapa engkau tidak takutkan orang yang sedang
bersolat dan bermunajat dengan Tuhannya? Sebaliknya engkau takut pula
dengan orang yang sedang tidur di sebelahnya padahal orang (yang
sedang tidur) itu (mungkin) dalam keadaan lalai

raja iblis : "Adapun orang yang sedang bersolat itu amat jahil sekali,
(maka) mudahlah untuk hamba merosakkan (melalaikan) solatnya, tetapi
orang yang sedang tidur itu (sebenarnya) alim. Maka apabila hamba
menggoda dan cuba merosakkan solatnya, hamba takut kalau-kalau orang
alim itu bangun dari tidurnya lalu menegur serta memperbetulkan solat
si jahil itu

(Sabda Rasulullah S.A.W. Na umul aliimi khairun min ibaadatil jahiil
yang bermaksud Tidur orang yang alim lebih baik daripada ibadat orang
yang jahil seperti 1000 orang beribadat dengan tidak berilmu agama,
sangat senanglah syaitan mengganggunya, teapi seorang pelajar ilmu
feqah itu, sangat susah bagi syaitan hendak menggodanya)

RASULULLAH S.A.W: "Hai iblis! Apakah kata-kata pujian bagimu?

raja iblis : "Suara orang yang bernyanyi dan berpantun-seloka serta
suara bunyi-bunyian kecuali orang yang bernyanyi, berpantu, bernazam
memuji Tuhan, bernasyid serta berselawat di atas Nabi

RASULULLAH S.A.W: "Hai iblis! Siapakah yang sekaum denganmu?

raja iblis : "Orang yang menipu harta orang dan memakan harta anak
yatim serta memakan riba

RASULULLAH S.A.W: "Hai iblis! Sebab apakah engkau gelapkan hati
manusia?

raja iblis : "Mereka yang makan dan minum dengan (punca) mata
pencarian yang haram kerana mereka buta dalam mencari harta yang halal
serta mereka banyak tidur sehingga matahari tinggi dan meninggalkan
solat subuh serta memenuhi perutnya dengan kenyang sekali

RASULULLAH S.A.W: "Hai iblis! Siapakah yang menggembirakan hati
engkau?

raja iblis : "Orang kaya yang bakhil dan orang yang tidak mengeluarkan
zakat untuk hamba Allah yang dhaif, malah zakatnya dihantar kepada
orang lain padahal kaumnya miskin, kerana orang yang bakhil itu seteru
Allah SWT serta orang yang tidak mengeluarkan zakat itu akan masuk ke
dalam neraka yang paling bawah bersama-sama dengan hamba.

RASULULLAH S.A.W: "Hai iblis! Siapakah yang menyuburkan badan engkau?

raja iblis : "Orang yang berhasad dengki dan orang yang tidak
mempelajari hukum Islam serta semua perempuan yang jahat dan perempuan
yang merosakkan dirinya serta perempuan yang menjual maruahnya

RASULULLAH S.A.W: "Hai iblis! Jika seorang ulama meninggal dunia,
bagaimanakah keadaanmu?

raja iblis : "Telah subur dan bertunaslah hasutan hamba dan pekerjaan
hamba.

(Sabda Rasullullah S.A.W. - yang bermaksud Barangsiapa yang
berdukacita di atas kematian seorang ulama , maka dituliskan Allah SWT
pahala baginya seribu ulama dan seribu syuhada , Sabda Rasulullah SAW
lagi yang bermaksud Akan datang atas umatku yang melarikan diri dari
ulama atau mereka yang membenci golongan yang mengajar agama, maka
diberikan Allah SWT 3 jenis bala ke atas mereka (yang membenci atau
melarikan diri dari ulama dan seumpamanya) (1) Dihilangkan keberkatan
dalam pencariannya (rezki), (2) Didatangkan Allah SWT ke atas mereka
seorang ketua yang zalim atau raja yang zalim, dan (3) dikeluarkan
(dimatikan) mereka daripada dunia dengan tidak beriman Na uu
dzubillaaHimin dzaalik kita berlindung dengan nama Allah SWT )

RASULULLAH S.A.W: "Hai iblis! Jika umatku bersolat jemaah,
bagaimanakah keadaanmu?

raja iblis : "Sesungguhnya segala simpulan (tali pengikat) tipudaya
hamba telah mereka leraikan

(Maka sabda Rasulullah S.A.W. yang bermaksud Barangsiapa solat 5
waktu, maka dia akan mendapat 5 perkara (1) Tidak akan terkena pada
dirinya kefakiran (kemiskinan), (2) Diangkatkan darinya siksa kubur
oleh Allah S.W.T., (3) Dianugerahi orang itu dengan kitab tulisannya
(perbuatan di dunia) pada sebelah kanan (pihak yang selamat), (4)
Melalui titian (Siraatal Mustaqiim) di atas neraka sepantas kilat, (5)
Dimasukkannya Allah SWT ke dalam syurga tanpa sebarang hisab dan tanpa
sebarang siksaan. Sabda Rasulullah S.A.W. lagi yang bermaksud Solat
lelaki berjemaah lebih baik daripada solat 40 tahun di rumahnya
seorang diri dan solat berjemaah itu mendapat 27 darjat - serta solat
berjemaah di rumahnya bersama anak (anak) dan isterinya akan mendapat
pahala haji dan umrah )

RASULULLAH S.A.W: "Hai iblis! Jika umatku berselawat ke atas ku,
bagaimanakah keadaanmu?

raja iblis : "Mereka telah membelah muka hamba disebabkan ingatan kuat
terhadap Tuan Hamba

(Maka sabda Rasulullah S.A.W. yang bermaksud Barangsiapa berselawat ke
atasku, maka para Mailaikat akan memohon diampunkan (segala dosanya)
dia dan dia adalah sebahagian daripada isi syurga

RASULULLAH S.A.W: "Hai iblis! Jika umatku bersolat Hari Raya di
masjid, bagaimanakah keadaanmu? Kerana Tuhanku yang Maha Besar telah
berfirman - Hai sekelian Malaikat! Saksikanlah olehmu bahawa
sesungguhnya telah Aku ampunkan sekelian dosa umat Muhammad, lelaki
dan wanita/perempuan, Maka apabila telah selesai dari solat dan
khutbah dibacakan, maka Firman Allah SWT Hai umat Muhammad! Pulanglah
kamu ke rumah masing-masing, sesungguhnya Aku telah mengampunkan dosa
kamu yang terdahulu dan yang kemudian dan Aku telah gantikan dosamu
itu dengan kebajikan!

raja iblis : "Ya Rasulullah! Apabila umat Tuan Hamba pergi (untuk)
bersolat Hari Raya, maka hamba sangat berdukacita dan kesal. Maka
hamba pun menjerit sehingga datang sekelian bala tentera hamba dan
(mereka) bertanya Hai raja kami! Siapakah yang engkau marah? Adakah
ianya (puncanya) dari langit atau dari bumi? Perintahkanlah kami
sekelian pergi membinasakan barang di langit dan di bumi. Maka hamba
menjawab Hai bala tenteraku! Apa yang menyebabkan aku berdukacita
ialah kerana Allah SWT telah mengampuni umat Muhammad pada Hari Raya
ini. Wahai sekelian bala tenteraku! Tidakkah kamu mengetahui bahawa
Allah SWT telah memberkati puasa umat Muhammad? Dan Tuhan amat
mengasihi dan mengasihani mereka dengan penuh rahmat serta
diperkenankan segala doa mereka dan diampunkan segala kesalahan
mereka? Wahai tenteraku! Hendaklah kamu goda mereka itu supaya malas
beramal ibadat dan resah dengan berjalan ke sana dan kemari serta
asyik berjudi serta bersukaria memuaskan nafsu dengan mengerjakan
maksiat supaya datang kemurkaan Tuhan ke atas mereka itu dan
ditimpakan bala ke atas mereka kerana dengan demikian, akan membawa
kesenangan di dalam hatiku. Maka berangkatlah sekelian bala tentera
iblis syaitan untuk mengganggu umat Muhammad

RASULULLAH S.A.W: "Jika umatku membaca doa akhir tahun (Hijrah),
bagaimanakah keadaanmu?

raja iblis : "Telah bersusah payah hamba menggoda mereka sepanjang
tahun, tiba-tiba mereka membaca doa (yang hanya) mengambil masa yang
sedikit, maka lemahlah hamba lalu hamba menyapu dengan tanah (dan
berkata), aduhai, celaka betapa malang dan celaka diriku dengan
kerugian, maka hamba pun berpaling (dan) pergi

(Doa Hujung Tahun AllaaHomma maa amiltu min amalin fii HaaziHissanati
mimmaa nahaitanii anHu, walam tar Dhahu walam tan sahu, wahamilta
alaiyya ba da qud rotika alaa, uquubatii, wada autanii ilattaubati ba
da jur aatii alaa ma Siatika, fainnii astaghfiruka faghfirlii waHablii
min amalin tarDhahu, wa wa datanii alaihitsawwaab )

RASULULLAH S.A.W: "Hai iblis! Jika umatku membaca doa awal tahun,
bagaimanakah keadaanmu?

raja iblis : "Ya NabiyUllah! Putuslah harapan hamba, kerana
barangsiapa membaca doa awal tahun, (maka) Tuhan memerintahkan dua
Malaikat supaya membakar buku kesalahan hambanya dan dituliskan
kebajikan di dalam (buku kebajikan) disebabkan orang yang membaca doa
ini .

(Doa Awal Tahun AllaaHomma antal abdiyyulQadiim,waHaaziHi sanatu
jadiidatun, as aluka fiihal iSmata minassyaiTooni wa au liyaa ihi. Wal
au na alaa Haa dzihiinnafsil ammaarati bissuu wal ish ti ghaala bisaa
yuQorribunii ilaika yaa Kariim )

RASULULLAH S.A.W: "Hai iblis! Siapakah yang menyokong engkau?

raja iblis : "Orang yang tidak bertaubat atas dosanya dan suka ketawa
ketika berbuat dosa berkenaan. Ya NabiyyUllaah! Telah hamba binasakan
ramai manusia dengan (menggoda mereka) mengerjakan dosa daripada
berbagai-bagai (jenis) maksiat, maka hamba gembria. Tiba-tiba, mereka
mengucapkan kalimah-kalimah Laa ilaa Ha illAllaah dan istighfar, maka
binasalah hamba, kerana pada masa hamba dibuang ke dunia (dulu), hamba
mengembara sambil bersiul-siul dan orang yang bersiul itu adalah
penghibur iblis syaitan, tetapi orang yang azan itu adalah penghalau
iblis syaitan, kerana para Malaikat akan hadir bersolat bersama-sama
dengan mereka .

RASULULLAH S.A.W: "Hai iblis! Sekarang apalah kesudahan ikhtiar engkau
di atas umatku, kerana aku telah dibangkitkan oleh Tuhan ke dunia ini
bagi menyelamatkan sekelian bani Adam daripada kufur kepada iman,
daripada gelap gelita kepada terang benderang?!

Maka iblis pun mengangkat kepalanya ke hadhirat Tuhan dan berkata Yaa
Rabbi! Demi kemuliaan Engkau, sentiasalah hamba akan berusaha dengan
bersungguh-sungguh pada menarik sekelian anak Adam kepada berbagai-
bagai jalan maksiat selama ada nyawa di tubuh mereka, hamba jadikan
pemuda dan wanita bercampur dan berkenalan, supaya hamba dapat
mencelah di dalamnya.

(Maka) Datanglah Firman Allah SWT :

Hai mala un, Demi Kebesaran dan KetinggianKu, bahawa Aku sentiasa
bersedia untuk mengampuni dosa umat Muhammad selagi mereka itu memohon
ampun kepadaKu

RASULULLAH S.A.W: "Hai iblis! Apa lagi yang engkau musykilkan?

raja iblis : "Ya Rasulullah! Bahawasanya hamba sangat ajaib (hairan)
melihat dua macam hal sekelian hamba Allah SWT iaitu (1) Mereka itu
mengaku kasihkan Tuhan, walhal mereka itu taatkan hamba dan berbuat
maksiat, (2) Mereka itu sangat marah kepada hamba, tetapi mereka
menurut hasutan hamba.

(Maka) Datanglah Firman Allah SWT:

Hai mala un! Demi Kemuliaan dan KebesaranKu, Aku anugerahi umat
Muhammad (dengan) 2 kebahagiaan : (1) Kasih mereka kepadaKu dijadikan
kifarah (penebus dosa) bagi maksiat mereka kerana tipudayamu, dan (2)
Kemarahan mereka kepadamu Aku jadikan kifarah (penebus dosa) perbuatan
maksiat mereka kepadaKu

Maka iblis tercengang-cengang mendengar umat Muhammad yang sangat
dikasihi Tuhan GhafuururRahiim yang Maha Mengampuni lagi Maha
Mengasihani hambanya dengan limpah rahmatNya.


Setelah selesai baginda Rasulullah S.A.W. berdialog dengan raja Iblis,
maka baginda menghalau iblis dengan sabdanya : Wahai laknatullah!
Nyahlah engkau dari hadapanku ini maka iblis pun keluar dengan
perasaan yang amat dukacita.

Maka hairanlah para sahabat yang hadir dalam majlis berkenaan
mendengar tipudaya iblis yang menyelubungi seluruh umat manusia.

Sabda Nabi S.A.W.: Hai para sahabatku! Ketahuilah olehmu bahawa iblis
telah membuat kesalahan atas beberapa sebab : (1) ia engkar dan
membantah perintah Tuhan, (2) ia takbur dan besar diri (3) ia berhasad
dengki dengan Nabi Adam a.s. (4) Ia menghasut dan mengkhianati
(manusia) (dari) seorang kepada seorang (yang lain) seperti yang telah
ia ajarkan kepada Qabil dengan tipudayanya sehingga berani Qabil
melakukan pembunuhan ke atas saudaranya Habil yang disayangi oleh Nabi
Allah Adam a.s.

Sabda Nabi S.A.W.: Bahawa pada suatu hari, Iblis mengadap Nabi Musa
bin Imran a.s. dan berkata : Yaa NabiyuLLaah! Apabila Tuan Hamba
bermunajat kepada Allah S.W.T di Bukit Tursina, hamba hendak bertaubat
kepada Allah SWT, adakah (taubat) hamba diterimanya?

Maka sukacitalah Nabi Musa a.s. mendengarkan iblis yang hendak
bertaubat itu lalu baginda menyanggupi permintaan iblis. Setelah tiba
di Bukit Tursina, maka berdoalah baginda kepada Allah SWT memohon
petunjuk. Maka datanglah Firman Allah S.W.T. : Wahai Musa, kesalahan
iblis boleh Ku ampunkan dengan syarat hendaklah ia (iblis) bersujud
pada kubur Nabi Adam Maka Nabi Musa a.s. pun menyampaikan firman Allah
S.W.T. kepada iblis. iblis mengeluh dan berkata Wahai Nabi Musa!
Semasa Adam masih hidup pun hamba tidak sudi bersujud kepadanya,
inikan pula, Adam telah mati Maka iblis pun beredar.

Sabda Nabi : Bermula (tegaknya) tiang dunia ini dengan 4 perkara : (1)
Dengan ilmu para ulama, (2) Dengan adilnya sekelian raja-raja, (2)
Dengan kemurahan (hati) orang-orang kaya, (4) Dengan doa sekelian
fakir miskin.

Maka sekiranya tidak ada ulama, nescaya binasalah sekelian orang yang
jahil dan sekiranya raja-raja tidak adil, nescaya (segolongan) manusia
(ibarat) memakan (segolongan) manusia yang lain sebagaimana harimau
menghambat dan memakan kambing. Sekiranya (pula) tidak ada kemurahan
(hati) orang-orang kaya, nescaya binasalah sekelian fakir miskin dan
sekiranya tidak ada doa fakir miskin, nescaya runtuhlah langit dan
bumi.


KISAH NABI IDRIS A.S. MENIKAM MATA iblis (KEMBALI KE ATAS)

Pada suatu hari, sedang Nabi Idris a.s. duduk menjahit bajunya, tiba-
tiba berdiri di hadapan pintu rumahnya seorang lelaki memegang sebiji
telur di tangannya. Katanya Ya Nabi Allah Idris! Bolehkah Tuhanmu
memasukkan dunia ke dalam telur ini?

Maka Nabi Idris a.s. memandang lelaki berkenaan dan baginda terus
mengecam lelaki berkenaan sebagai iblis laknatullah.

Nabi Idris A.S. bersabda: Marilah ke sini dekat denganku, tanyalah apa
yang engkau kehendaki. Maka raja iblis itu pun mendekati baginda
sambil mengulangi pertanyaannya : Ya Nabi Allah Idris! Bolehkah
Tuhanmu memasukkan dunia ke dalam telur ini?

Sahut Nabi Allah Idris A.S. : Jangankan memasukkan dunia ini ke dalam
telur sebesar ini, bahkan ke dalam jarumku yang sekecil inipun,
Tuhanku Maha Berkuasa memasukkan dunia ke dalamnya Lalu dengan pantas
Nabi Allah Idris A.S. pun menikam mata raja iblis dengan jarum. iblis
pun terperanjat dan kesakitan lalu melarikan diri setelah menerima
tandatangan Nabi Allah Idris A.S. yang telah menyebabkan ia buta
sebelah matanya sehinggalah zaman kebangkitan Junjungan kita dan
kekasih Allah SWT iaitu Nabi Muhammad Rasulullah S.A.W.

(dipanjangkan dari sahabat kepada pengunjung blog)

0 comments:

Post a Comment